Bulan Ramadhan ini teringat pula aku kepada tadarus al-Quran yang masih aku amalkan setiap tahun. Aku amat mengambil ketika bertadarus al-Quran sehingga hari ini. Alhamdulillah, setiap tahun aku khatam al-Quran. Aku sangat bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana memberikan aku kehidupan yang sempurna, jauh dari perbuatan maksiat dan memperbaiki diri aku supaya berubah ke arah yang lebih baik dari sebelumnya.
Ingatkah anda semua kepada ayat al-Quran dalam surah al-'Alaq (ayat 1-5) yang bermaksud :
Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
Kita mestilah membaca al-Quran sepanjang bulan Ramadhan. Bukan hanya pada bulan Ramadhan sahaja, bulan-bulan lain pun perlu mengamalkan walaupun sepotong ayat kerana belum tentu lagi kita akan bertemu lagi dengan bulan Ramadhan. Kata-kata orang Terengganu, "Dok kira r mung kecik ke besor, mung muda ke tua, mung sihat ke sakit, mung kena baca jugok". Jadi, nikmatilah kehidupan dengan bertadarus al-Quran di bulan Ramadhan yang banyak manfaat dan ganjaran di akhirat kelak.
Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. bersabda :
Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada hamba pada hari kiamat. Puasa berkata : Hai Tuhanku, aku menegahnya daripada makan dan syahwat pada siang hari. Maka berilah syafaatku padanya. Al-Quran pula berkata : Tuhanku, aku tegahkannya daripada tidur malam, maka berilah syafaat kepadaku padanya. Kemudian kedua-duanya diberi syafaat.
(Hadis riwayat Ahmad dan sanad sahih)
Dr. Muhammad Zuhaili menguatkan hujah mengenai tadarus al-Quran di dalam bukunya, Mausu'ah Qadaya Islamiah Mu'asirah berkata :
Sesungguhnya al-Quran adalah kalam Allah, dan sesiapa yang mahu berbicara dengan Tuhannya, maka hendaklah membaca al-Quran. Ini kerana al-Quran adalah hidangan Allah yang diturunkanNya kepada hamba-hambaNya untuk dinikmati dan dikecapi.
Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam berhimpun untuk membaca al-Quran dan bertadarus. Baginda menjelaskan kepada mereka kelebihannya antaranya, diturunkan sakinah dan tama'ninah serta ketenangan, rahmat dan pelbagai lagi kelebihan kepada yang cintakan al-Quran.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmidzi daripada Abi Sa'id bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
Firman Allah s.w.t. dalam hadis Qudsi, siapa yang disibukkannya oleh al-Quran daripada memohon kepadaku, nescaya aku kurniakannya yang lebih afdal daripada yang aku kurniakan kepada orang yang meminta. Dan kelebihan kalam Allah s.w.t. berbanding dengan semua kalam sama seperti kelebihan Allah atas segala makhluknya.
Tuntasnya, perbanyakkanlah membaca al-Quran di bulan Ramadhan semampu yang boleh. Jika tidak mampu, bacalah walau dengan sepotong ayat agar tidak terpesong daripada landasan yang mahu kita tujui iaitu keredhaan Allah s.w.t. dan jannatul firdaus yang kita idami. Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan