Selasa, 21 Februari 2012

Kisah Rempit Motor


Perjalanan hidup yang kita hadapi sekarang adalah Allah yang tetapkan. Kita sebagai manusia hendaklah sentiasa menjaga diri walau di mana-mana berada agar tidak melakukan dek kesalahan. Setiap manusia mesti mempunyai pengalaman tersendiri sama ada yang baik atau buruk. Macam-macam ragam manusia yang kita tak tahu. Namun, ragam itulah yang memberikan pengalaman dalam hidup sebenarnya.

Kisahku kali ini berkisahkan rempit motor. Pengalaman saya semasa saya berumur 11 tahun dah diajar menaiki motosikal dan sering terjatuh. Ayah sampai marah-marah aku menaiki motosikalnya yang aku telah pakai sekarang ini (Kriss). Asal jatuh je kena repair. Namun, aku tetap berdegil untuk menaiki juga. Satu hari, ayahku dah tak tahan dengan kerenahku yang selalu menaiki motosikal, tiba-tiba ayahku bawa rotan yang nipis memukul ke belakangku. Aku menangis teresak-esak dan tak bawa motosikal lagi. Aku ditemani oleh bapa saudaraku yang masih muda ketika itu. Satu hari, ayah dan ibuku ada hal di bandar jadi aku tinggal bersama bapa saudaraku. Masa itu adalah malam minggu. Bapa saudaraku mengajakku pergi jalan-jalan bersamanya. Aku tanpa berfikir panjang pun ikutlah, dengan membonceng sahaja.

Pada malam itu, aku dibawa ke bandar sekejap bersama-sama bapa saudaraku. Aku duduk la macam biasa. Satu ketika, tiba-tiba bapa saudaraku membawa laju-laju. Wrrooommm3x....Aku dah takut masa tu. Aku tengok meter motor. Alamak!!! 150km/h....Lajunya....Arrrrgghhh...Aku menjerit. Bapa saudaraku tak dengar. Dia terus saja bawa motor itu. Sedang bawa laju tu, ada pula polis datang untuk menahan kami. Aku dah suruh dia berhenti, tetapi lain pula jadinya. Dia mencilok-cilok dengan kereta polis tu...Aku hairan keseorangan. Sampai di bandar, polis terus mengejar kami. Aku dah fikir macam-macam dah. Aku tak mahu ditahan polis.

Tiba-tiba, kereta polis sudah lenyap. Aku menarik lafaz lega sekejap. Aku ingatkan dah selamat, rupanya kereta polis masih mencari-cari lagi kami. Tak sempat nak menyorok. Aku dan bapa saudaraku lari lagi. Tetapi, polis dah mengelilingi kawasan tersebut. Aku tak mampu nak berlari lagi. Aku dah menangis. Bapaku direman sebentar sementara aku pula dibawa ke balai polis. Ayah dan ibuku terus pergi ke balai polis setelah mengetahui kejadian itu. Setelah kejadian itu, aku dan bapa saudaraku dibawa balik ke rumah. Ayahku marah-marah dekat bapa saudaraku yang bawa motor laju sangat. Sementara aku pula, dilarang membawa motor seumur hidup. Aku sedih. Tetapi, aku menerima seadanya. 

Sehingga pada umur 17 tahun, ayahku pujuk semula aku supaya bawa motor. Tetapi, aku tak nak mula-mula. Sebab kisah dahulu menjadi pengajaran buatku. Tetapi, ayahku tak berdiam diri sahaja. Dia terus pujuk aku dengan membeli raket, tetapi aku tak mahu juga. Dua minggu ayahku pujuk aku tetapi tak berjaya. Aku tetap dengan pendirianku. Namun, satu malam aku bermimpi membawa motorsikal ayahku yang aku bawa masa kecil dulu. Aku bawa pergi jalan-jalan. Bila aku sedar pada waktu subuh, ibuku berada di hadapanku. Ibuku gelakkan aku. Aku tanya,'Kenapa ibu?' Ibuku menjawab,'Mengigau ke? Haha..Ibuku ketawa.' Aku jawab, 'Tak ada la, cuma mimpi tadi.' Mak aku bertanya semula,'Mimpi pun sampai boleh terangkat kaki dengan tangan sekali? Hehe..' Aku dah mula rasa malu. Lalu aku ketawa. Ibuku menasihatiku supaya terima motor yang diberikan oleh ayahku kepadaku. Dengan rasa bersyukur, aku menerimanya. Ayahku kembali gembira kerana aku telah menerima.

Ayahku menasihatiku supaya jangan bawa motor laju-laju lagi. Itulah kisahnya. Perjalanan seorang khalifah di muka bumi Allah ini mempunyai pelbagai aneka ragam. Membawa ke seribu pengalaman yang tak pernah aku lalui. Namun, pengalamanku telah mengajarku bahawa pentingnya situasi yang dilalui supaya kita dapat berfikir apa yang baik mahupun yang buruk. Aku hanya insan biasa yang lemah dan tiada kekuatan melainkan Allah s.w.t. yang maha berkuasa di atas segala perkara. Wallahuaklam :)

Isnin, 20 Februari 2012

Cemburu

Perasaan cemburu lahir dengan sendirinya tanpa disedari. Ia berpunca dari pelbagai perkara antaranya kita banyak menghabiskan masa bersama keluarga kita berbanding pasangan sendiri, atau seorang anak cemburu ketikamana ibu bapa lebih mementingkan adiknya daripada dirinya dan banyak perkara yang boleh membuat kita cemburu. Cemburu sebenarnya boleh menjejaskan hubungan baik yang terjalin antara dua insan, persahabatan dan kekeluargaan. Bukan itu sahaja, malah ia boleh membawa kepada perlakuan yang kasar dan mencederakan orang lain.

Bagaimana timbulnya rasa cemburu ini? Kita sering tidak menyedari apakah yang kita lakukan dan sentiasa merasakan kita betul sahaja berbanding orang lain. Apakah yang orang lain lakukan adalah tidak betul? Ataupun kerana hanya hendak kita sahaja yang menguasai sesuatu perkara tersebut? Kajian telah dibuat di mana masalah peribadi bukanlah punca utama kepada ketaranya perasaan tersebut, namun perasaan yang kurang yakin dan berasa diri tidak dihargai adalah punca ketara seseorang tersebut cemburu. Bagaimana boleh dikatakan begitu? Sebab seringkali orang tersebut biasa lebih bergantung kepada orang lain. Akibatnya emosi akan berlaku pada diri kita kerana kekurangan keyakinan dalam diri kita.

Siapa Lebih Cenderung Cemburu?
Orang yang berkeyakinan dengan diri sendiri jarang menerima sifat cemburu daripada orang lain dan sering berhubungan baik dengan ahli keluarga dan rakan pula. Tetapi apa kan daya kita. Manusia tidak sempurna. Ada juga sedikit rasa cemburu jika rasa tidak cukup apa yang kita lakukan. Maka sesiapa sahaja yang muncul di depan matanya akan melihat sebagai satu ancaman. Orang yang cemburu itu akan mula mengenakan batasan kepada orang lain, mengenai apa yang mereka boleh buat, di mana mereka boleh pergi dan dengan siapa. Contoh situasi yang berkaitan iaitu mengenai masalah 'Couple'. Ini sering terjadi bahkan berada di mana-mana sahaja. Ada yang ok tu boleh tahan juga. Tetapi jika ada yang cemburu, macam mana? MasyaAllah....jangan sampai ada yang bergaduh antara satu sama lain nanti.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
'Sesungguhnya Allah menciptakan laki-laki dan perempuan untuk berpasangan'

Jika kita menghayati ayat al-Quran, banyak maksud tersirat di sebalik maksudnya. Namun, hari ini kita lihat semakin ramai yang berpasangan dan tidak mengetahui hukum Allah. Semakin kita rapat akan pasangan tersebut, semakin cemburu kepada pasangan sendiri. 

Bagaimana Untuk Tanganinya?
Setiap orang ada rasa cemburu di hati walaupun sedikit. Namun begitu, kita tidak boleh terus berada dalam situasi tersebut, perlulah ada perubahan dalam diri kita sebagai manusia yang dipilih Allah taala. Pertama sekali, kita perlulah belajar mengenali perasaan cemburu dan kesan buruknya ke atas orang lain dalam sesuatu hubungan. Rasa cemburu di hati kita akan menjarakkan lagi hubungan yang terjalin selama ini. Kedua, manusia hendaklah mengubah tingkah laku yang memperlihatkan diri kita adalah seorang yang cemburu dengan hapuskan batasan terhadap pasangan kita dan jalinlah hubungan dengan lebih ramai orang. Akhir sekali, carilah punca masalah dengan membaca dan mengenal pasti pencapaian peribadi dalam hidup. Dengan itu, barulah peroleh penghargaan daripada orang lain. Tetapi, jangan ego pula. Kawal perasaan sombong. Kerana sombong, takbur adalah perkara yang disukai oleh iblis laknatullah.

Muhasabah, istighfar dan selawat ke atas Nabi s.a.w. adalah amalan terbaik yang perlu diamalkan untuk hadapi masalah tersebut daripada terus berlaku. Kesimpulannya, walaupun perkara ini nampak remeh, namun ia sering terjadi dalam diri kita. Nasihat saya kawalkan emosi dalam diri dan lakukan amalan yang disebutkan tadi. 

Akhir kata dari saya, 'Orang yang mengawal emosi akan terus berada dalam keadaan stabil, namun orang yang cemburu seolah-olah terkena serangan jantung dan kematian kardiak tiba-tiba'.

Selasa, 14 Februari 2012

Rahsia Kalimah Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam kita menjalani kehidupan seharian, mesti anda tidak tahu di sebalik kalimah Muhammad. Apakah maksudnya? Ramai yang hanya tahu sekadar panggilan nama sahaja. Tetapi sebenarnya ada maksud yang tersirat di sebaliknya. Kebesaran Allah taala yang diberikan kepada kita tiada tolok bandingnya agar kita selalu bersyukur dengan penciptaanNya. Sekadar perkongsian kepada umat Islam agar sama-sama kita menghayati rahsia di sebalik ayat yang diberi.

RAHSIA NAMANYA
Sedang saya membelek kitab Syamail Muhammadiyyah, kelihatan seekor labah-labah kecil menari-nari di sekitar kulit buku dan isinya. Ia seperti cuba mengakrabi kitab itu. Saya biarkan saja. Lantas terkenangkan sirah nabawi di era penghijrahan Baginda SAW. Seekor labah-labah yang membantu perjalanan Baginda SAW dan Saidina Abu Bakr as-Siddiq.
Kitab kedua mengenai sirah Baginda SAW – Asar Rasulullahhi Sollallahu Alaihi Wassalam saya capai dan tekuni.
Tertarik pada perenggan menerangkan makna nama Muhammad Rasulullah. Sedarkah kita, nama Muhammad begitu popular di kalangan umat Islam dahulu sehingga kini? Tentu tak terhitung kiraannya. Malah pangkal pertama nama saya juga adalah Muhammad. Alhamdullillah. Terima kasih Ayahanda Md Rashidi Abas atas nama agung itu.
Sollu Alan Nabi!

Nabi Muhammad pesuruh Allah. Ramai yang sedar akan keperihalan ini, namun ramai juga yang langsung tidak mengendahkan atau sengaja untuk tidah tahu akan hakikat ini. Tahukah anda rahsianya?
Disebutkan di dalam hadis al-Qudsi “Aku (Allah) bersumpah bahawa tidak akan masuk neraka orang yang bernama Ahmad dan Muhammad.” (Hadis riwayat al-Hafiz ad-Dhailami r.a di dalam al-Firdaus)
Telah diriwayatkan pula daripada al-Imam al-Azhar as-Syarif Syeikh Soleh al-Azhari di dalam kitabnya bahawa kalimah محمد menurut bahasa arab sebenarnya ada lima huruf iaitu ‘mim’ yang ditasydidkan. Dan lima huruf yang ada dalam kalimah محمد itu sebenarnya adalah ganjil, rahsia dan ada maknanya tanpa manusia sedari. Ianya memberi manfaat kepada sesiapa yang menyebutnya.
Bertutur al-Imam Busairi r.a:
Kerana bagiku ada satu jaminan apabila namaku juga Muhammad dan Baginda itu adalah makhluk yang paling menyempurnakan janji.
Mari kita lihat rahsia disebalik nama Baginda:
1. Kalimah محمد bermakna Rukun Islam yang lima – wajib ke atas umat Islam menurutinya.
  • Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SAW dan bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruh Allah SWT.
  • Diwajibkan solat lima waktu.
  • Menunaikan puasa selama sebulan di bulan Ramadhan.
  • Mengeluarkan zakat.
  • Melaksanakan ibadah haji.
2. Ia mengisyaratkan kepada lima pancaindera yang dimiliki setiap manusia agar mampu memahami dan menghadami ilmu al-Quran, al-Hadis dan segala macam ilmu-ilmu Islam yang lain.
  • Penglihatan melalui mata.
  • Pendengaran melalui dua telinga.
  • Merasai.
  • Menyentuh.
  • Menghidu melalui deria hidung.
3. Nama Baginda محمد menjadi simbolik kepada Khalifah ar-Rasyidin yang lima.
  • Saidina Abu Bakr as-Siddiq.
  • Saidina Umar al-Khattab.
  • Saidina Usman Affan.
  • Saidina Ali Abu Talib.
  • Saidina Hasan Ali.
4. Membawa makna kepada sesuatu perkara yang tidah diketahui Baginda SAW sendiri (ghaib) melainkan Allah SWT. Ini kerana perkara itu terangkum dalam ilmu Allah SWT yang Maha Luas melainkan diizinNYA. Perkara tersebut ialah:
  • Berlakunya Hari Qiamat.
  • Kandungan dalam rahim ibu.
  • Turunnya hujan.
  • Perkara yang berlaku pada hari esok.
  • Hari kematian seseorang.
5. Kalimah محمد membawa makna kepada anak-anak Saiyyidah Fatimah az-Zahra’ r.anha.
  • Saidina Hasan r.a.
  • Saidina Husain r.a.
  • Sayyidah Zainab r.anha.
  • Sayyidah Ruqayah r.anha.
  • Sayyidah Ummu Kalthum r.anha.
6. Ia membawa maksud kepada lima peristiwa besar yang melibatkan sahabat-sahabat Baginda SAW dan tercatit di dalam sejarah Islam.
  • Ahli Badar.
  • Ahli Uhud.
  • Ahli Baiatur Ridwan.
  • Muhajirin.
  • Ansar.
7. Bahkan kalimah محمد turut membawa makna kepada lima keadaan dan kehidupan Rasulullah SAW.
  • Di era sebelum Rasulullah SAW diangkat menjadi Rasul.
  • Zaman selepas secara rasminya dilantik menjadi Rasulullah.
  • Keadaan Rasulullah SAW menghadapi jihad dalam peperangan.
  • Kehidupan Rasulullah SAW selepas pembukaan Mekah.
  • Kehidupan Rasulullah SAW di alam Barzakh.
8. Makna nama Baginda SAW menggambarkan lima keadaan ketika Rasulullah SAW menerima wahyu dari Allah SWT.
  • Datangnya malaikat menyerupai manusia.
  • Mendengar deringan bunyi loceng.
  • Melalui mimpi.
  • Melalui ilham.
  • Mikraj tanpa wujudnya perantaraan.
9. Seterusnya makna lima nama Rasulullah SAW ialah Baginda SAW terpelihara daripada melakukan perkara-perkara keji dan boleh menyebabkan Baginda SAW difitnah dan dicemar.
  • Akhlak Rasulullah SAW terpelihara sebelum menjadi Rasul.
  • Terpelihara kehidupannya daripada budaya orang Arab jahiliyah ketika zaman itu.
  • Dijaga namanya dalam al-Quran.
  • Dijaga namanya dalam al-Hadis.
  • Terpelihara kehidupannya melalui hukum-hukum Islam.
10. Kalimah محمد membawa kepada lima makna selepas kewafatan Baginda SAW, iaitu perpindahan ke alam lain.
  • Hidupnya Baginda SAW di alam barzakh seperti ruh-ruh para syuhada.
  • Mendengar selawat dan salam dari umatnya.
  • Menjawab salam dari umatnya.
  • Mengetahui siapa di kalangan umatnya yang memberi selawat dan salam.
  • Maqamnya dijadikan taman-taman syurga sehingga ke Hari Qiamat.
11. Ia membawa kepada lima makna akan syafaat Baginda SAW.
  • Memberi syafaat di dunia – umat Muhammad SAW tidak diazab seperti umat-umat sekalian nabi a.s yang terdahulu kerana adanya Nabi Muhammad SAW. Ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dan tidaklah Allah SWT akan mengazab mereka selagi engkau (Muhammad SAW) berada di antara mereka.”
  • Memberi syafaat di akhirat.
  • Syafaat untuk umatnya yang mempunyai kedudukan disisi Allah SWT seperti ulama’-ulama’, syuhada’, ahli ilmu.
  • Syafaat bagi sesiapa yang menziarahi Baginda SAW.
  • Syafaat daripada Allah Jalla Wa’ala.
12. Dan akhirnya, kalimah محمد membawa makna kepada alam ini.
  • Alam manusia.
  • Alam malaikat.
  • Alam jin.
  • Alam tumbuh-tumbuhan.
  • Alam haiwan.
Mari kita hamparkan wangian selawat ke atas junjungan Rasulullah SAW. Moga menguntum syafaat dan maghfirah Allah Ta’ala. Sollu Alan Nabi!
Wallahhil Azim, sangat bersyukur dikurniakan nama ‘Muhammad’!

Sumber : Asar Rasulullahhi Sallahu Alaihi Wassalam, Ahmad Lutfi Ibn Abdul Wahab al-Linggi.

Maksud Valentine dan Sejarah

 


Fenomena sebahagian remaja menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan paling diminati dan sangat-sangat ditunggu untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan. Ia sebenarnya merupakan satu fenomena ajaib dan aneh kerana perayaan ini tidak pernah disisipkan secara rasmi di mana-mana kalender. Akan tetapi ia terus diingati dan diraikan saban tahun. 

To be my Valentine?
Bagi mereka yang meraikan sambutan Valentine’s Day ungkapan ‘To be my Valentine’ sering bermain di bibir. Kebiasaannya ia diungkapkan oleh teruna kepada si dara dalam menzahirkan kecintaannya.
Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak, menurut Sweiger, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan aqidah dan dimurkai Allah. Ini karena ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.
Mengapa Mawar Merah?
Selain ucapan ‘To be my Valentine’ pemberian jambangan mawar merah oleh si teruna kepada si dara juga sering menjadi amalan pada Valentine’s Day. Ia dianggap satu simbol dalam menzahirkan kasih sayang ‘hakiki’. Sebenarnya perbuatan ini merupakan amalan kebudayaan Eropah dengan diselitkan kepercayaan aneh dan karut. Menurut satu mitos Rom kuno, mawar merah merupakan bunga kegemaran Venus, si dewi cinta. Dewi itu amat sinonim dengan memperingati kekasih. Ia tidak ada kaitan dengan Islam dan hanya mengikut ‘teladan’ mitos karut.
     Amalan memberi bunga mawar merah ini sebenarnya mula dipopularkan pada tahun 1970an. Ia berlaku selepas Raja Charles II mengarang buku yang bertajuk The Languange of Flowers, yang menguraikan tentang amalan kebiasaan bangsa Persia yang mengungkapkan perasaan melalui bunga. Sejak itu pemberian mawar merah terutama pada saat Valentine’s Day amat popular. Tanpa mengetahui sebabnya ia terus menjadi amalan.
Hukum Menyambut Valentine’s Day
Sebenarnya, majoriti tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.”
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Valentine tidak digalakkan oleh agama Islam.
Pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan atau dengki di atas aktiviti trend baru zaman moden ini. Tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi panduan seantero umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan diakhirat.
 Sejarah Valentine’s Day
 Menurut Rizki Ridyasmara di dalam bukunya, Valentine Day, Natal, Happy New Year, April Mop, Hallowen: So What?, para sejarawan masih tidak mempunyai kata sepakat berkenaan peristiwa apa sebenarnya menjadikan Hari Valentine terus diperingat. Tetapi daripada beberapa sumber sejarah terdapat empat (4) versi pendapat yang amat popular berkaitan dengannya.
Pendapat Pertama
     Pendapat pertama mengaitkan Sambutan Hari Valentine dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta (Queen of Feverish Love) bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari itu mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan diadakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka. Semasa agama Kristian menguasai Rom, mereka mengadaptasikan upacara paganism ini dan mewarnainya dengan nuansa Kristian. Mereka menggantikan nama-nama gadis dengan nama-nama Paus atau Pastor. Antara pendukungnya adalah Raja Konstantine dan Paus Gregory I.
Pendapat Kedua
     Pendapat kedua pula mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua (2) kisah berkaitan dengan St. Valentine ini.
     Versi pertama menyatakan bahawa pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi, hidup dengan penuh mitos dan lagenda amat memusuhi penganut agama Kristian. Para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap tegar mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorban yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.
     Versi kedua pula menyatakan bahawa Claudius II, yang berhadapan dengan peperangan beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu, Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian, St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda Rom secara rahsia. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.
Pendapat Ketiga
     Ia dirayakan bersempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol dimana St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam itu. Disebabkan sumbangan itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.
Pendapat Keempat
     Berdasarkan apa yang dinukilkan oleh Geoffrey Chaucer, seorang penyair Inggris di dalam puisinya.  Sambutan Hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya pada 14 Februari.
     Berdasarkan kepada versi-versi tersebut, ianya amat jelas tiada hubungan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan budaya kita mahupun agama bagi umat Islam. Malahan ianya amat terang lagi tersuluh mempunyai kaitan dalam memperlekehkan aqidah Islam dan orang Islam sendiri.
Kebejatan Acara Valentine’s Day
     Sebenarnya bukan sekadar apa yang tersirat di sebalik amalan dan kepercayaan berkenaan Sambutan Hari Valentine ini sahaja amat keji dan perlu dihindari. Tetapi acara-acara jelek dan tidak boleh diterima oleh budaya manusia bertamadun, menjadikan ianya perlu ditolak dan dipadamkan dari takwim perayaan manusia madani dan memiliki pegangan aqidah yang suci.
     Lihatlah bagaimana saban tahun kebelakangan ini, media-media mendedahkan pelbagai acara dianjurkan bagi mengamatkan Sambutan Hari Valentine, khususnya kepada kalangan muda mudi. Ianya dicatur berpaksikan kepada menzahirkan perasaan kasih dan sayang kepada pasangan masing-masing. Amat jijik dan jelek sekiranya difikirkan dengan akal pemikiran yang waras. Bagaimanakah seorang kekasih boleh menyerahkan dan melakukan apa sahaja untuk kekasihnya tanpa ada sebarang ikatan demi membuktikan perjanjian cinta?
     Akan tetapi, apa yang amat mendukacitakan, acara tidak bertamadun dan tidak bermata dalam menilai kehormatan sesama insan itu tetap mendapat sambutan. Ia sukar dibendung. Jauh sekali untuk dibersihkan sepenuhnya. Kesedaran pemikiran yang waras tercabut dengan hayalan dan dongengan dek janji indahnya kasih sayang tanpa ada suluhan kebenaran yang hak.
     Berdasarkan kepada apa yang telah terjadi, sebenarnya Hari yang bertemakan kepada menyanjungi dan mengagungi kasih sayang di kalangan para kekasih menjadi hari permulaan bermulanya bencana dan kehancuran. Sememangnya pada Valentine's Day akan muncul si Romeo dan si Juliet yang mampu mengungkapkan bait-bait puisi seindah puisi William Shakespeare. Tidak kurang pula juga mereka yang sehebat si Laila dan si Majnun dalam bergelumang memperjuangkan kesetiaan cinta dengan bibir mengalunkan kata-kata puitis seindah puisi Jamaludin Rumi. Itu semua hanya seketika dek karamnya mereka di dalam bahtera gelojak nafsu tanpa nakhoda keimanan. Keindahan detik ‘syurga’ ciptaan penuh tipu daya hanya wujud pada hari itu sahaja. Ia akan ghaib entah ke mana setelah berakhirnya Valentine’s Day.
      Penderitaan, kekecewaan dan penyesalan akan menyelusuri. Ia akan menggantikan nikmat yang tidak seberapa. Si Romeo yang menjanjikan seribu kesetiaan menjadi halimunan bersama janjinya. Si Majnun yang menaburkan selangit pengorbanan demi kasih, cinta dan setia bisu dan ghaib entah kemana. Ia sudah terlambat untuk diatasi. Nasi sudah menjadi bubur. Cempedak sudah menjadi nangka. Kekesalan sudah tiada gunanya.
Islam Ada Cara
     Islam sebagai agama fitrah dan sempurna, sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama kekasih. Ini dapat dilihat melalui apa yang diungkapkan di dalam Kitab Al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah s.a.w. bongkarlah khazanah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w itu bagi mencarinya.
     Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi. Ikatan itu dinamakan sebagai perkahwinan.
     Ia bukan bertujuan menyusahkan hubungan sesama manusia. Akan tetapi, ia hanya bermatlamatkan menjadikan masyarakat yang stabil, aman dan harmoni. Keindahan dalam menzahirkan kasih sayang itulah yang dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun.
Penutup
     Bagi menyelamatkan agamadan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah sempena Valentine’s Day ini perlulah disemaikan dalam setiap minda kita mewar-warkan larangan Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya di Negara kita. Wujudkanlah perasaan anti Valentine’s Day di dada dan minda, hadirkanlah rasa benci dan tidak akan meraikannya melalui penyertaan aktiviti-aktiviti yang menyalahi aqidah, syarak dan tamadun manusia.