Benar, kita sememangnya payah hendak berubah! Sebenarnya ramai orang yang hendak berubah, tetapi perubahan yang dibuat tidak kekal lama. Kata orang, hangat-hangat tahi ayam. Memang nampak kasarnya bunyinya, namun itulah hakikatnya yang ada pada kita sekarang.
Sebagaimana juga saya dahulu, payah hendak berubah menjadi orang yang betul-betul baik, banyak kejadian-kejadian yang saya rasa saya tidak perlu buat. Kenapa? Kerana tidak mengingati Allah semasa Dia ada bersama kita selalu. Bila susah, baru ingatkanNya. Seolah-olah memaksa diri. Mulut berkata hendak berubah, tetapi hati macam mana?
Pernah juga saya mengikuti program-program motivasi dan suntikan kesedaran diri. Pabila saya mengikutinya dapat juga disuntik perasaaan dengan modul-modul pengisian al-Quran dan alunan zikrullah sehingga air mata jatuh berlinangan di muka dan pipi. Namun, keadaan kembali seperti biasa. Mengapa? Teringat saya kepada seorang hamba Allah yang selalu mengingatkan kepada saya :
"Sesiapa yang berubah kerana TERPAKSA dia sebenarnya adalah MANGSA, dan sesiapa yang berubah kepada Allah kerana kesedaran yang jelas dan nyata, pasti ia akan BAHAGIA".
Bagaimanakah dengan anda? Sudahkah anda matang berubah dengan mengingati Allah? Itulah hakikat yang dirasai kita sebelum ini. Apabila hidayah dan kesedaran datang dalam diri kita, rasa menyesal, insaf dan sedih dengan segala kisah yang anda buat hingga timbul bibit keazaman untuk berubah dan terus berubah. Namun ia disia-siakan kerana perubahan yang dilakukan tidak kekal lama. Akhirnya kita terus di takuk lama sehingga ajal maut datang menemui kita.
Jesteru, apakah yang perlu kita buat? Saya selalu dipesan oleh ibu bapa saya tentang perubahan. Jika hendak berubah, perlulah kita memahami hakikat perubahan itu sendiri. Semua orang nak berubah, tetapi masa yang berlalu menyebabkan ramai orang masih di tahap yang sama. Oleh itu, kita perlu lakukan perubahan dengan bagaimana untuk memulakan perubahan, hayati dan selami betul-betul perubahan tersebut.
Kata ibu bapa saya :
"Kenali kelemahan, keaiban dan kekurangan pada diri kita".
Itulah asasnya. Sedarkah kita semua akan kerdil, lemah dan hinanya kita? Air mata berguguran mengingatiNya. Namun, sekuat mana fizikal luaran dan segagah mana perasaan kita, akhirnya bagaikan terpaksa. Ujian, dugaan dan musibah sering datang bersilih ganti hadir dalam sanubari kita. Segala hal, tindakan dan peristiwa telah ditetapkan oleh Allah. Namun, perlulah ada hajat selalu untuk berubah untuk Allah s.w.t.
Firman Allah taala yang bermaksud :
"Wahai umat manusia! Kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam semua perkara), sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji".
(Surah al-Fath : 35 :15)
Jesteru, paling utama yang kita perlu buat adalah mengenal diri PenciptaNya, mengenali Rasulullah sebagai damba cinta baginda, melihat kekuasaan Allah dan ketika itu hendaklah rehat minda kita. Semua titik mula untuk mengenalpasti kelemahan-kelemahan adalah tercalit pada diri kita sendiri. Tersembunyi di sebalik perasaan hendak berubah sebenarnya ramai manusia takut untuk berubah. Ya. Perubahan yang dibuat adalah secara zahir sahaja, tidak berlaku secara mukjizat yang memukau manusia. Nak berubah perlukan pengorbanan tau...
Kita semua bertanggungjawab untuk berubah dan semua itu ada harga yang perlu dibayar. Kita hajatkan pada perubahan tetapi tidak sanggup membayar harganya. Seolah-olah mahu kerja semuanya senang. Berkata guru saya semasa saya di bangku sekolah :
"Katakan kepada orang yang mengharapkan sesuatu yang tinggi. Tanpa bersusah payah, kamu hanya mengharapkan sesuatu yang mustahil. Kenikmatan tidak mungkin diperolehi dengan kenikmatan pula. Setiap sesuatu yang bernilai tinggi pasti ada harganya. Kejayaan tidak akan diraih dengan kesenangan, mahupun kenikmatan. Ini kerana kedua-dua itu hanya akan datang selepas keperitan, kesusahan dan kesengsaraan.
Oleh itu, matlamat merupakan pokok utama. Namun, biarlah ia secara jelas sehingga sanggup berkorban dengan apa-apa yang kita hajati. Tanpa matlamat yang jelas adalah sukar untuk kita berubah.
Untuk berubah memang payah dan sukar, namun perlulah digerakkan niat kita seiring dengan matlamat kita yang dikenali sebagai 'himmah'. Apakah 'himmah' ini? Himmah adalah roh himmah yang berkobar-kobar dan membangkitkan iaitu segala perkara yang hendak kita berubah perlu ada dorongan himmah yang padu, jika tiada maka ianya adalah sia-sia sahaja.
Menurut seorang ulama' salaf berkata :
"Himmah kamu hendaklah sentiasa dibaja dan disebarkan. Ini kerana himmah adalah permulaan sesuatu perkara. Orang yang baik dan benar himmahnya, maka datang pula kebaikan pada amalan-amalannya selepas itu".
Orang yang memiliki himmah yang tinggi akan kelihatan memulakan sesuatu perkara dengan penuh keyakinan, kekuatan dan bersemangat menuju matlamat yang hendak dicapai dan langsung tidak mempedulikan kesusahan, kepedihan, kegetiran dan cabaran yang ditempuhi.
Firman Allah taala yang bermaksud :
"Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan bersungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, maka usaha mereka akan dibalas dengan kebaikan".
Ayuh manusia, sedarlah diri kita. Kita sebagai manusia perlu berubah dari sekarang untuk menjadi umat yang terbaik di sisi Allah kerana Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada mereka sendiri. Selain itu, kita perlulah hijrah menuju Ilahi dengan muhasabah diri sedalam-dalamnya kerana itulah perubahan yang hakiki yang perlu ada pada diri kita untuk terus menjadi insan yang terbaik di dunia dan akhirat.
Wallahuaklam ^_^

Tiada ulasan:
Catat Ulasan